Program Komuniti McDonald 2018 Bantu Golongan Miskin Di Pantai Timur

Program Komuniti McDonald 2018 Bantu Golongan Miskin Di Pantai TimurHanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum menjelang tahun baru 2019. Ini bermakna sesi persekolahan akan bermula tak lama lagi. Kelihatan ramai ibu bapa yang dah mula menyerbu ke pusat membeli belah untuk membeli kelengkapan persekolahan anak-anak. Tambahan pula, jualan akhir tahun dengan tawaran murah untuk peralatan sekolah menghangatkan lagi suasana persiapan membeli barangan persekolahan bagi anak-anak. Yang pasti, anak-anak gembira untuk memulakan sesi persekolahan baru. Maklumlah, dari pakaian hingga ke beg serta kasut sekolah, semua dapat yang baru. Gembira sakan!

Tetapi, pernahkah kita terfikir, dalam keseronokan kita membeli kelengkapan persekolahan anak-anak, bagaimana golongan yang kurang berkemampuan menyediakan peralatan dan barangan untuk persekolahan anak-anak mereka? Untuk pengetahuan semua, di Malaysia terdapat pelbagai badan samada kerajaan atau bukan kerajaan (NGO) yang sama-sama turun padang, berganding bahu dalam membantu golongan kurang berkemampuan, samadabantuan dalam bentuk kewangan atau peralatan.

McDonald’s sumbang lebih RM 480,000 kepada golongan kurang bernasib baik di Kelantan

McDonald's merupakan salah satu badan aktif di Malaysia yang sering menganjurkan aktiviti komuniti bagi membantu golongan yang memerlukan. Team Blogger Pantai Timur (BPT) telah diberikan penghargaan untuk menyaksikan sendiri Program Komuniti McDonald peringkat Negeri Kelantan pada 13 Disember 2018 yang bertempat di McDonald's Pandu Laju, Pengkalan Chepa. Program ini merupakan program tahunan McDonald's Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sebahagian ahli blogger pantai timur (BPT) yang dijemput hadir ke program ini.

Sebanyak sejumlah RM484,100 sumbangan telah diumumkan pada program tersebut melibatkan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan kurang bernasib baik dan miskin tegar di Kelantan. Program Komuniti McDonald's dan RMHC kali merangkumi beberapa acara, program dan pemberitahuan yang dijalankan oleh McDonald's Malaysia. Antara inisiatif-inisiatif yang diumumkan di majlis komuniti tersebut termasuk

1. Penyerahan Zakat Perniagaan Dari McDonald
2. Program Perantisan McDonald's Malaysia
3. Program "Back-to-School"
4. Rumah Ronald McDonald's Kedua di HUSM


Program komuniti ini diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Dr. Haji Nik Mohd Azlan Bin Abd Hadi selaku Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Mufti Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Dato' Haji Mohamad Shukri bin Mohamad. 

Penyerahan Zakat Perniagaan Dari McDonald

McDonald’s Malaysia, kini dimiliki oleh Reza Group, telah memenuhi kewajipan zakatnya sejak tahun lalu, kerana ia merupakan entiti perniagaan yang 100% dimiliki oleh umat Islam. Reza Group adalah syarikat yang memiliki dan mengurus kesemua cawangan McDonald’s di wilayah barat dan selatan Arab Saudi secara eksklusif sejak 20 tahun lalu.

Sesi penyerahan zakat daripada wakil McDonald's Malaysia kepada MAIK

Azhar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, turut berkata bahawa Ronald McDonald Charities House Malaysia akan terus melaksanakan kewajipan zakat apabila tiba masanya, kerana zakat adalah kaedah untuk mengurangkan kemiskinan dan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai umat Islam.

Penyerahan zakat perniagaan ini telah diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melalui Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Haji Nik Mohd Azlan bin Abd Hadi yang juga merupakan tetamu kehormat dalam program komuniti ini. Turut sama dalam program ini adalah YB. Sahibul Samahah Dato' Haji Shukri bin Mohamad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan dan Tuan Haji Abdullah bin Mat, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Program Perantisan McDonald's Malaysia

Program ini merupakan sebahagian daripada Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang dilaksanakan di bawah Kementerian Sumber Manusia dan pensijilan diberikan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (DSD).

Melalui program ini, para perantis akan menjalani tempoh latihan praktikal dan teori di dalam kelas selama 18 bulan. Setiap bulan perantis akan menerima elaun bulanan sebanyak RM1,200, faedah perubatan, insurans serta makanan secara percuma. Selaras dengan perlaksanaan program ini, diharap dapat meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat serta pada masa yang sama memupuk bakat baru.

Sebahagian daripada para perantis yang telah berjaya

Sijil diberikan kepada para perantis yang telah berjaya dalam praktikal dan teori.

Para belia dari golongan asnaf di negeri Kelantan sangat dialu-alukan untuk menyertai Program Perantisan McDonald's. Sebaik sahaja mereka menamatkan program ini, mereka layak untuk bekerja di restoran McDonald's sepenuh masa. 

Program Kembali ke Sekolah (Back To School)

Program “Kembali ke Sekolah” mendapat sokongan francaisi dan rakan-rakan perniagaan McDonald’s, di mana ia bertujuan menghulurkan bantuan kepada lebih 17,000 kanak-kanak sekolah rendah dari golongan miskin bandar di seluruh negara dengan pemberian set pakaian sekolah baharu. Melalui program ini, setiap kanak-kanak menerima 1 set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut sekolah, dan sebuah beg sekolah untuk persediaan memulakan sesi persekolahan tahun 2019. 

Sumbangan kelengkapan sekolah oleh McDonald kepada kanak-kanak sekolah rendah

Kanak-kanak yang kurang berkemampuan gembira dengan peralatan sekolah yang diterima

Keseluruhan sumbangan di bawah program “Kembali ke Sokolah” tahun ini adalah melebihi RM1.7 juta. Di Kelantan, seramai 841 orang kanak-kanak sekolah rendah dari golongan miskin bandar menerima pek ini.

Rumah Ronald McDonald Ke-2 di HUSM

Ronald McDonald House Charities (RMHC) turut meluaskan inisiatif kemasyarakatan di Kelantan dengan penubuhan Rumah Ronald McDonald (RMH) kedua di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan. Rumah ini merupakan rumah persinggahan yang menyediakan kemudahan penginapan kepada keluarga pesakit kanak-kanak yang menjalani rawatan di HUSM atau hospital lain di sekitar Kota Bharu.

Rumah Ronald McDonald yang kedua di Malaysia dan dijangka akan dibuka pada bulan Mac 2019.

RMH yang dijangka siap pada awal tahun hadapan merupakan rumah kediaman berkelengkapan penuh dengan 18 buah bilik tidur, ruang makan, dapur, bilik dobi, bilik TV, bilik permainan, dan lain-lain kemudahan untuk penghuni.



Antara kemudahan yang disediakan di RMH di Hospital USM, Kelantan 

Penubuhan rumah ini diharapkan dapat meringankan beban kewangan keluarga pesakit kanak-kanak yang terlibat di samping menyediakan kemudahan yang selesa dan berpatutan demi memastikan keluarga dapat berada dekat dengan anak-anak mereka yang sedang menjalani rawatan di hospital..

Program Inisiatif Terbaik Dari McDonald's Malaysia Harus Dipuji

Program inisiatif yang dilakukan oleh McDonald Malaysia dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat dan mengurangkan beban kewangan buat golongan yang kurang berkemampuan merupakan suatu usaha terpuji yang harus dipandang tinggi. Semoga selepas ini akan ada program dan inisiatif kemasyarakatan lain pula yang akan menyusul.

Terima kasih sangat kepada McDonald yang telah memberi sumbangan dalam meringankan beban kepada komuniti yang kurang berkemampuan di Kelantan. Bagi anda yang gemar menikmati hidangan istimewa di restoran McDonald's, jangan lupa untuk terus menderma dengan memasukkan wang ke dalam tabung kebajikan yang terdapat di kaunter restoran. Wang hasil sumbangan anda akan terus disalurkan ke dalam program komuniti anjuran McDonald's Malaysia. Jadi secara tidak langsung, anda juga telah membantu dalam aktiviti kemasyarakatan di Malaysia.
Program Komuniti McDonald 2018 Bantu Golongan Miskin Di Pantai Timur  Program Komuniti McDonald 2018 Bantu Golongan Miskin Di Pantai Timur Reviewed by Nick Nashram on 12:41:00 AM Rating: 5

No comments:

Terima kasih kerana tinggal komen di artikel ini. Komen yang mengandungi iklan,spam dan provokasi akan dipadam oleh admin. Untuk tujuan promosi, iklan dan review produk, sila hubungi saya menerusi email nick87siriusblack@gmail.com.

Terima kasih.

Powered by Blogger.